HASIL BOM IKAN DIJUAL DI PASAR


Oleh Wartawan BS
4 Februari 2020

KOTA KINABALU: Sebanyak kira-kira 50 kilogram ikan putih yang dipercayai diperolehi daripada kegiatan bom ikan dirampas dalam ‘Ops Bersepadu Inter Agensi’ di sekitar Pasar Ikan Sinsuran dan Pasar Todak, di sini, malam tadi.

Operasi yang disertai dua pegawai kanan Pasukan Polis Marin (PPM) bersama sembilan anggota dan lima pegawai dari Jabatan Perikanan Kota Kinabalu itu dibuat selama dua jam bermula kira-kira jam 7 malam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, sepanjang operasi itu, beberapa meja peniaga ikan di Pasar Ikan Sinsuran dan peniaga di makanan laut Pasar Todak diperiksa.

“Pemeriksaan secara terperinci dilakukan sendiri oleh pegawai dari Jabatan Perikanan dan merampas hampir 50 kilogram jenis ikan putih di Pasar Ikan Sinsuran.

“Kebanyakan ikan yang dirampas itu ditemui mempunyai organ dalaman yang pecah dan cepat berbau busuk dipercayai ditangkap menggunakan kaedah bahan letupan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pajeri berkata, semua ikan yang dirampas bersama satu unit tong ikan dianggarkan bernilai RM1,500.

“Semua rampasan dibawa ke pejabat Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes diserah kepada pegawai penyiasat Jabatan Perikanan dan disiasat mengikut Seksyen 26 (1) (c) Akta Perikanan 1985 (Menangkap ikan dengan cara menggunakan bahan letupan),” katanya.

Tambah beliau, objektif operasi itu adalah memberi tumpuan terhadap peniaga-peniaga ikan di Pasar Ikan Sinsuran dan gerai makanan laut di pasar Todak.

“Operasi ini penting bagi mengesan dan menangkap individu yang menjual ikan bom dan seterusnya merampas semua ikan yang diperolehi menggunakan bahan letupan supaya dapat menyekat rantaian penawaran ikan bom.

“Dalam masa yang sama juga, ketika operasi dijalankan, risalah ‘Program Kesedaran Awam’ turut diedarkan kepada peniaga dan pengunjung di Dataran Todak supaya orang awam dapat mendapat pengetahuan mengenai ikan bom dan sentiasa peka serta cermat ketika membeli ikan,” katanya.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *